BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 8 April 2011

PENDIDIKAN

Strategi
Menurut Kamus Dewan (1998), strategi merupakam rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Strategi pula bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara. Di dalam pendidikan, konsep strategi merujukkepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori yang utama, iaitu startegi pemusatan guru, pemusatan murid dan pemusatan bahan pelajaran. Pembelajaran berpusatak guru adalah dengan menggunakan kaedah dan teknik menerang, ekspositori, demonstrasi, syarahan, pengajaran berkumpulan/berpasukan, pengajaran mikro dan bercerita. Strategi pemusatan murid pula dengan menggunakan kaedah dan teknik seperti projek, inkuiri-penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, simulasi, main peranan, sumbangsaran, berkumpulan dan pembelajaran melalui pengalaman. Strategi pemusatan bahan pula adalah dengan menggunakan teknik dan kaedah seperti audio-visual, penggunaan computer, penggunaan bahan cetak, pengajaran-pembelajaran kesepaduan, modul dan penggunaan buku teks dan buku rujukan.

Pendekatan
Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran dan pembelajaran. Dengan perkataan lain, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya. Menurut Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialah stu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. Pendekatan harus berlandaskan kepada model, prinsip atau teori pembelajaran misalnya:
  • Daripada konkrit kepada abstrak
  • Daripada mudah kepada kompleks.
  • Daripada keseluruhan kepada bahagian.
  • Daripada umum kepada spesifik (deduktif)
  • Daripada spesifik kepada umum (induktif)
  • Daripada dekat kepada jauh
  • Daripada yang diketahui kepada belum diketahui.
Ringkasan kata, pendekatan di dalam bidang pendidikan merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang berciri aksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektif pelajarannya yang telah ditentukan.

Kaedah
Umumnya kaedah ialah cara atau peraturan yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu. Kaedah merujuk kepada satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran spesifik dalam jangka pendek. Dengan perkataan lain kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pengajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun. Mengikut Edwar M. Anthony (1963), kaeadah merujuk kepada satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih. Dalam sesuatu pendekatan, terdapat beberapa kaedah mengajar yang boleh digunakan. Guru boleh menggunakan kaedah inkuiri-penemuan, kaeadah Socrates, kaedah induktif, kaedah penyiasatan, kaedah kerja praktis, kaedah dapatan dan sebagainya dalam pendekatan “daripada spesifik kepada umum”.

Teknik
Dalam konteks pendidikan, teknik mengajar boleh ditakrifkan sebagai kemahiran atau kecekapan guru digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut pandangan Edward M. Anthony (1963), teknik mengajar merujuk kepada satu muslihat, strategi, atau satu kemahiran yang digunakan oelh guru dengan tujuan untuk mencapai objektif pelajaran secara optimum. Antara teknik-teknik yang digunakan oleh guru ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, dan hafalan, penyoalan, sosiodrama, main peranan, simulasi, penyelesaian masalah, pemudahcaraan, sumbangsaran, permainan dan sebagainya.

Integrasi
Berbagai Pengertian Integrasi:
- Psikologi - bahawa individu itu adalah insan total dan segala unsur perkembangan pelajar yang mengandungi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sentiasa berkait rapat dan saling bergantung antara satu sama lain.
- Sosiologi - perhubungan antara personaliti dengan personaliti seperti antara seseorang pelajar dengan seseorang pelajar, dan antara pelajar dengan guru.
- Pedagogi - kaedahdan teknik mengajar yang meliputi pelbagai isi pelajaran dan kemahiran melalui unit pembelajaran dan bidang pelajaran yang khusus untuk tujuan membantu dalam pendekatan menyelesaikan masalah sebagai satu cara belajar.

Berbagai Jenis Integrasi
a) Penggabungjalinan - proses mengintegrasikan pelbagai bidang kemahiran bagi mewujudkan suatu pelajaran yang integratif dan menyeluruh.

Jenis-jenis Penggabungjalinan
i. Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran.
ii. Penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain ke dalam sesuatu mata pelajaran.
iii. Penggabungjalinan kemahiran secara merentas kurikulum.

(b) Penyerapan - proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran ain ke dalam isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar.

Ciri-ciri Penyerapan:
(i) Ia mengandungi beberapa unsur ilmu pengetahuan daripada berbagai-bagai pelajaran
(ii) Unsur-unsur ilmu pengetahuan ini diserapkan secara bersepadu dalamsatu mata pelajaran
(iii) Bilangan mata pelajaran yang digunakan dalam proses penyerapan adalah fleksibel.
(iv) Organisasi unsur-unsur isi kandungan bergantung kepada unsur utama dan unsur sampingan. Walau bagaimanapun, unsur utama tetap diberi penekanan yang lebih
(v) Proses penyerapan berlaku secara serentak dengan proses penggabungjalinan. Unsur-unsur isi kandungan boleh diserapkan ke dalam aktiviti penggabungjalinan berbagai-bagai kemahiran seperti membaca, menulis dan mengira.

(c) Penerapan- satu proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai-nilai murni, nilai kewarganegaraan, nilai kemasyarakatan, nilai alam sekitar, nilai kemanusiaan, ketuhanan dan sebagainya
i) Pendekatan implisit – penerapan secara x langsung eg. Guru berpakaian kemas, jujur, amanah, tepat masa dll
(ii) Pendekatan eksplisit - mengadakan suatu peraturan , arahan, pekeliling dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan dan yang tidak diharapkan.

(d) Pemulihan - untuk membantu pelajar yang mengalami masalah pembelajaran yang tertentu khususnya dalam kemahiran asas 3M.

(e) Pengayaan – aktiviti untuk pelajar yang pencapaiannya melebihi sederhana atau pintar cerdas.
i) Berbentuk Pengukuhan
ii) Berbentuk Perkembangan – lebih kompleks
iii) Pendekatan Integrasi - Adaptasi ke dalam kurikulum yang ada (sains + PJK ) dan Membina kurikulum baru kesihatan + PJ = PJK

Kelebihan Integrasi
a) Mempunyai kepelbagaian dan keseragaman aktiviti dalam bentuk unit-unit kerja.
b) Mempunyai ruang untuk menampung kepelbagaian akitiviti seni dalam pendidikan
c) Mempunyai ruang untuk menampung skop perpaduan yang luas.


Intergrasi dalam Pengajian Malaysia
(a) Aspek Psikologi - akan memberi kesan yang impak kepada minda dan tubuh pelajar.
(b) Aspek Sosiologi
i. Integrasi antara personaliti
ii. Integrasi antara individu dengan agensi-agensi masyarakat
iii. Integrasi di kalangan pelbagai institusi masyarakat.
(c) Aspek Pedagogi
(i) Berkait dengan prosedur mengajar – mengembang konsep dan pemahaman terhadap unit-unit.
(ii) Melibatkan perhubungan antara dua atau lebih bidang pelajaran:

Pengajian Malaysia dengan Mata Pelajaran Lain
a) Seni – Muzik : lagu patriotik , Seni : melukis
b) Sejarah – Sejarah Malaysia
c) Geografi – Peta 

Penerapan Nilai Murni
Nilai murni yang telah dinyatakan dalam kurikulum dan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah seperti berikut:
(a) Baik Hati                                                                                                            
(b) Berdikari  
(c) Hemah tinggi                                                 
(d) Hormat menghormati    
(e) Kasih sayang          
(f)  Keadilan     
(g) Kebebasan      
(h) Keberanian            
(i)  Kebersihan fizikal dan mental                          
(j)  Kejujuran                                               
(k) Kerajinan                                                      
(l)  Kerjasama     
(m)Kesederhanaan                     
(n) Kesyukuran            
(o) Rasional                   
(p) Semangat bermasyarakat
Nilai murni ini merupakan unsure yang sangat penting dan diserapkan dalam semua matapelajaran. Nilai ini bersifat sarwajagat dan tidak bercanggah dengan agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia. Nilai ini berteraskan kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1992). Dalam setiap matapelajaran yang diajar, guru hendaklah mengenal pasti nilai murni yang sesuai diterapkan dalam pengajaran tajuk berkenaan.
Pengajian Am dapat menerapkan nilai murni seperti keadilan yang mana Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen mempunyai tiga komponen penting iaitu Badan Kehakiman, Badan Perundangan dan Badan Eksekutif yang menjalankan bidang kuasa masing-masing supaya tidak ada pemusatan kuasa pada sesuatu pihak tertentu.

Rujukan
Esah Sulaiman, 2004. Pengenalan Pedagogi. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Mok S. S, 2009. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi: Murid dalam Alam Belajar. Selangor:          Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Wong K. S, Raminah Hj. Sabran & Kok M. K, 2004. Pengajian Am Kertas 1 dan 2 STPM.           Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
http://atelynn-simplebutsmart.blogspot.com/2009/05/seni-dalam-pendidikan-integrasi.html

UKIRAN KAYU

Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan Orang Asli.
Selain itu ukiran kayu juga ialah simbol kerajinan tangan, kemahiran dan ketinggian ilmu yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk barangan yang mempunyai unsur seni. Simbol dan identiti yang ditonjolkan pada ukiran kayu mencerminkan jati diri masyarakat Malaysia. Ekspresi yang dipaparkan melalui ukiran kayu mewakili watak dan budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Perjalanan sejarahnya yang cukup panjang menandakan kedewasaan seni kraf Melayu itu sendiri. Kewujudan seni kraf Melayu sejak bermula tamadun di Nusantara sehingga hari ini merupakan bukti kedewasaannya. Perjalanan sejarah ini juga memperlihatkan perubahan demi perubahan berlaku ke atas seni kraf Melayu dan menjadikannya warisan yang dibawa dari zaman ke zaman. Buku ‘Ukiran Kayu Warisan Melayu’ ini ditulis oleh seorang pengukir terkenal di negara kita iaitu Norhaiza Nordin. Beliau telah mula mempelajari seni ukiran Melayu sejak usia masih muda lagi. Keinginan yang tinggi untuk mendalami ilmu ukiran kayu telah membawa beliau berguru dengan tukang kayu ternama seperti Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wok, Latif Long, Allahyarham Abd. Rahman Long dan Allahyarham Nik Rashidin Nik Hussin. Buku ini mengupas mengenai sejarah pengukiran kayu yang dibahagikan kepada beberapa perkara seperti:
  • Jenis Ukiran Kayu
  • Liuk Lentuk Motif Ukiran Kayu
  • Ungkapan Keperibadian Melayu Dalam Ukiran Kayu
  • Senarai Bibliografi Bahan Rujukan

Sejarah Ukiran Kayu Melayu
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang.

Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntum bunga ataupun putik buah.

Bentuk Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.
Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.
Jenis Ukiran Kayu

Mengukir ialah proses meluakkan kayu dengan menggunakan alat ukir yang dibantu oleh kemahiran tangan. Bentuk ukiran kayu yang lazim dihasilkan oleh pengukir Melayu adalah ukiran dua dimensi dan ukiran tiga dimensi. Jenis-jenis ukiran seperti:
  • Ukiran Timbul Tanpa Silat
Gaya teknik ini biasanya terdapat pada dinding, tebar layar, jendela, daun pintu dan perabut.
  • Ukiran Timbul Bersilat
Hampir sama dengan Ukiran Timbul Silat tetapi berbeza pada silat motif atau corak ukiran. Ukiran teknik ini biasanya terdapat pada dinding, tebar layar, jendela, daun pintu dan perabot.
  • Ukiran Tebuk Tembus Tanpa Silat
Hampir sama dengan Ukiran Timbul Tanpa Silat biasanya terdapat pada kekisi, pagar musang, sekatan ruang, perabut dan cucur atap.
Segmen Liuk Lentuk Motif Dalam Ukiran Melayu menerangkan dengan jelas mengenai motif-motif hiasan yang digunakan dengan pengaruh dan kepercayaan motif itu sendiri. Ungkapan Keperibadian Melayu Dalam Ukiran Melayu dalam bentuk jiwa yang diterjemahkan oleh Abdullah Muhammad (Nakula) dalam bentuk kata-kata yang indah bagi memudahkan pemahaman masyarakat tentang makna yang tersirat disebalik keindahan ukiran kayu. Keindahan ukiran Melayu adalah manifestasi gambaran jiwa dan budaya yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dengan gabunggan ketinggian ilmu, kebolehan minda dan kemahiran untuk mengerahkan deria disalurkan kepada ukiran kayu sebagai satu nikmat yang boleh dihayati.

Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;
Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang). Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau.
Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.
Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal.

Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

Desa Ukiran Kayu - Besut

Seni ukiran kayu adalah seni warisan turun temurun yang mempunyai nilai seni yang tak ternilai harganya. Menyedari pentingnya seni ini tidak hilang ditelan zaman, Kerajaan Negeri Terengganu telah membina sebuah institut latihan seni ukir yang di beri nama Desa Ukiran Kayu (DUK). Desa Ukiran Kayu terletak di daerah Besut yang telah di ilhamkan sebagai "Besut Daerah Ukiran Kayu" kerana lahirnya pengukir-pengukir tersohor lahir di Daerah Besut. Antara pengukir ternama yang berasal dari Besut adalah Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Haji Wan Su Bin Othman ( Tokoh Seni Negara 1997), Abd Rahman Long, Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003) dan Norhaiza Bin Nordin.
Desa Ukiran Kayu ini telah dibina di kawasan Istana Tengku Long yang terkenal dengan seni bina yang menarik dan mengagumkan. Istana Tengku Long ini telah dibina dengan Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut Ke-4 pada tahun 1875. Istana ini dihiasi dengan ukiran kayu yang halus seni ukirannya dan sangat menarik dan mengagumkan. Desa Ukiran Kayu yang dibina ini berkeluasan 3,500meter persegi dan terletak di kawasan Kg Raja Besut Terengganu , kira-kira 100Km dari Bandar Kuala Terengganu. Terdapat tiga jenis rumah tradisional yang dibina di Desa Ukiran Kayu ini ialah Rumah Potong Belanda, Rumah Limas Bungkus dan Rumah Bujang Berserambi Selasar. Ketiga-tiga rumah ini menjadi simbol dan contoh ukiran kayu yang diterapkan ciri-ciri ukiran melayu yang terkenal. Gaya ukiran pada kayu adalah dipengaruhi oleh faktor dan cara hidup masyarakat Melayu seperti adat, agama, persekitaran, iklim dan bentuk muka bumi. Biasanya ukiran ini berdasarkan keperluan individu dan tidak bercanggah dengan kepercayaan dan adat Melayu.
Desa Ukiran Kayu ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan menyediakan latihan kepada pelatih lepasan SPM yang terdiri dari anak watan Terengganu yang berminat mendalami seni ukir ini. DUK ini juga dipantau oleh seorang Profesor Madya Sulaiman Abd.Ghani sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence (TIDE) yang mempunyai pengalaman yang tinggi dan luas dalam bidang seni. Selain itu DUK juga menyediakan tenaga pengajar berpengalaman untuk melatih pelatih di sini. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti latihan ukiran kayu atau melawat Desa Ukiran Kayu boleh lah berkunjung dan melihat sendiri Seni Warisan Melayu yang menjadi simbol dan lambang kebangaan kita sebagai rakyat Malaysia.

RUJUKAN
Norhaiza Nordin, 2009. Ukiran Kayu Warisan Melayu. Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan      Kraftangan Malaysia. Hlmn.101.
http://malaysiana.pnm.my/04/0412ukir_kayu.htm
http://www.geocities.ws/isaid04652/Fulltext010.html
http://naeltrg.blogspot.com/2010/09/desa-ukiran-kayu-besut.html
http://zehanzehan.blogspot.com/2010/06/pengajian-melayu-bersumberkan-islam.html